KAPIT, 5 Mei: Sebuah kedai serbaneka tiga tingkat di Jalan Airport Kapit musnah hampir 80 peratus dalam kebakaran awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.20 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit dikerahkan ke lokasi.
“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 2.24 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah struktur kekal tiga tingkat berkeluasan anggaran 80×20 kaki persegi.
“Api dipercayai bermula di tingkat bawah dan merebak ke tingkat satu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pasukan bomba menghadapi kesukaran untuk membuat akses ke dalam premis disebabkan barangan yang menghalang laluan masuk.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menjalankan pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua nozel secara ofensif dan defensif di tingkat bawah dan satu.
“Satu lagi aliran dengan dua nozel digunakan secara defensif di bahagian belakang bangunan,” ujarnya.
Tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.-TVS



