JOHOR BAHRU, 1 Mei: Kementerian Pertahanan (MINDEF) mencadangkan penubuhan satu gabungan melibatkan kesemua persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara bagi mempermudah penyampaian bantuan kepada ahli.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu penting memandangkan ketika ini terdapat 122 persatuan veteran ATM yang berdaftar di seluruh negara.
Ujar beliau menerusi gabungan berkenaan kelak, penyelarasan bantuan akan menjadi lebih tersusun dan mampu memperkukuh hubungan antara kerajaan dan persatuan-persatuan veteran.
“Gabungan itu bukan sahaja bertujuan untuk mempercepatkan proses bantuan tetapi juga berperanan sebagai platform bagi pelaksanaan program kebajikan, latihan semula dan peningkatan taraf hidup veteran ATM.
“MINDEF komited untuk memastikan kebajikan veteran ATM terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Johor kali ke-56 di sini hari ini.
Tambah Mohamed Khaled, cadangan gabungan itu juga bagi memastikan tiada ahli yang tercicir daripada menerima bantuan.
Persidangan kali ini turut menjadi medan perbincangan pelbagai isu berkaitan kebajikan veteran dan hala tuju persatuan pada masa depan.
Lebih 400 ahli PVATM seluruh Johor hadir bagi menyuarakan pandangan serta cadangan mereka.
“Kita yakin kerjasama erat antara kementerian dan persatuan dapat merealisasikan usaha ini demi kebaikan semua veteran ATM.
“Langkah itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam menghargai pengorbanan veteran ATM yang selama ini menjadi tonggak utama mempertahankan kedaulatan negara,” tambah Mohamed Khaled. -TVS.