SIBU, 22 April: Hasrat seorang wanita kakitangan kerajaan untuk membina hubungan cinta dengan seorang lelaki warga Korea yang dikenalinya di Facebook bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dia kerugian RM190,000 akibat diperdaya sindiket ‘love scam’.
Mangsa berusia dalam lingkungan 40-an, terpedaya dengan helah seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai “Kim Soo Hyun” nama yang menyerupai seorang selebriti terkenal Korea sebelum menyerahkan wang secara berperingkat selepas percaya kepada rayuan cinta suspek.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa mengenali suspek pada 1 April menerusi laman sosial Facebook dan hanya dalam beberapa hari, lelaki tersebut mula memintanya menghulurkan wang atas alasan adiknya sedang sakit tenat akibat kanser dan memerlukan kos rawatan tinggi.
“Tertarik dengan kata-kata manis dan kononnya prihatin, mangsa terjerat emosi dan membuat 25 pemindahan wang antara 7 hingga 16 April ke dua akaun bank tempatan berjumlah keseluruhan RM190,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun, helah suspek mula terbongkar apabila dia terus meminta wang dengan pelbagai alasan tidak munasabah, menyebabkan mangsa akhirnya sedar ditipu dan membuat laporan polis pada 21 April.
Zulkipli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan individu asing yang dikenali secara atas talian, walaupun kelihatan meyakinkan atau menggunakan identiti popular.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- TVS