MIRI, 18 April: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi Sungai Sengayan, Long Jekitan, Ulu Baram, berakhir selepas mayat terakhir ditemui hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat Dawellies Luing, 46, dijumpai jam 2 petang tadi di kawasan Sungai Sengayan dalam SAR hari keempat.
“Jarak mayat terbabit dijumpai tujuh kilometer dari tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis.
“Mayat itu kemudian dibawa ke hospital Miri untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dengan penemuan mayat itu operasi SAR berkenaan berakhir jam 8 malam ini.
Dalam kejadian itu, mayat anak mangsa Vallerie Mentie Dawellies, 9, dijumpai penduduk kampung dan dibawa ke rumah keluarganya di Long Tikan pada Rabu.
Difahamkan dalam kejadian sekitar jam 8 pagi itu, Dawellies bersama isteri dan anak perempuan mereka telah menaiki kenderaan tersebut yang dipandu seorang penduduk tempatan.
Ketika cuba menyeberangi Sungai Sengayan, kenderaan mereka telah terkandas menyebabkan enjin mati dan kemudian dihanyutkan arus deras.
Pemandu dan isteri Dawellies berjaya menyelamatkan diri. -TVS