KUCHING, 16 April: Kesatuan Guru Sarawak (STU) mengakui jasa Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang pernah memberi kenaikan gaji kepada penjawat awam antara 15 hingga 35 peratus akan terus diingati, kata Presidennya, Kullin Djayang.

“Dalam era beliau sebagai Perdana Menteri, beliau telah memberikan kenaikan gaji kepada penjawat awam antara 15 hingga 35 peratus.
“Selain itu, jasa beliau kepada penjawat awam juga ialah telah memperkenalkan skim kenaikan gred secara KUP dan melanjutkan umur persaraan daripada 56 ke 58 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Allahyarham juga adalah seorang Perdana Menteri yang berjiwa rakyat, tenang, warak serta sentiasa proaktif dalam membangunkan negara.
“Kami seluruh warga STU turut berduka cita atas pemergian wira negara ini dan sentiasa berdoa semoga roh beliau dicucur rahmat,” ujarnya.-TVS