LUNDU, 16 April: Semua ahli majlis diingatkan agar melaksanakan amanah dengan penuh integriti dan komited memperkasakan pelbagai inisiatif untuk komuniti.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, memikul amanah sebagai ahli majlis bukanlah sesuatu yang mudah kerana antara tugas utama mereka adalah untuk merancang pembangunan tempatan selain merangka dasar serta polisi dan pada masa yang sama melaksanakan inisiatif untuk memperkasakan komuniti ke arah kehidupan yang mampan.
“Ahli Majlis merupakan peringkat ketiga tertinggi dalam hierarki kerajaan dan mempunyai kuasa, dan sebab itu digelar penguatkuasa tempatan dan di bawah penguatkuasaan tempatan ini, anda mempunyai tanggungjawab untuk menggubal polisi dan undang-undang kecil,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli-Ahli Majlis Daerah Lundu (MDL) pada Rabu.
Sementara Pegawai Daerah Lundu yang juga Pegerusi MDL, Awang Yusup Awang Mostapha pula berkata, pihaknya akan terus berusaha dengan penuh dedikasi seiring dengan kepercayaan serta tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan Sarawak terutama dalam memacu pembangunan secara holistik di daerah Lundu ini.
“Saya ingin berpesan kepada rakan-rakan saya yang sama-sama dilantik pada pagi ini, agar meningkatkan kepimpinan yang berintegriti dan juga profesionalisme agar menjadi contoh dan teladan kepada komuniti di daerah Lundu,” katanya.
Majlis Angkat Sumpah 32 orang Ahli Majlis Daerah Lundu (MDL) ini diketuai oleh Pegawai Daerah Lundu merangkap Pengerusi MDL, Awang Yusup Awang Mostapha dan tempoh lantikan serta perkhidmatan bermula 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028.
Hadir sama ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, ADUN Opar, Billy Sujang, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Tan Chee Kang. -TVS