PATTANI, 15 April: Bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap nasib umat Islam yang menjadi minoriti di negara-negara Asia Tenggara, kata Pengerusi Institut Teknologi Andaman, Penolong Profesor Dr. Sukree Langputeh.
Sukree, yang juga anggota Alumni Universiti-Universiti Malaysia di Thailand menyatakan bahawa Abdullah memberikan perhatian besar terhadap pendidikan umat Islam, termasuk di Thailand.
“Abdullah sentiasa menekankan kepentingan pendidikan umat Islam, termasuk di Thailand untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi di Malaysia.
“Kini, ramai daripada mereka telah berjaya, kembali ke tanah air dan menyumbang ilmu serta pengalaman untuk pembangunan negara kami,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Selasa.
Sukree yang merupakan alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata beliau menerima berita sedih mengenai pemergian Abdullah semalam dan segera mendapatkan pengesahan daripada rakan-rakan alumni.
“Kami mendoakan semoga Allahyarham ditempatkan di syurga Al-Firdaus atas segala kebaikan yang dilakukan sepanjang hayatnya,” tambahnya.
Sementara itu, seorang penolong guru besar Sekolah Sasana Suksa di Pattani Ahamad Kari, berkata konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Abdullah telah memberi inspirasi kepada masyarakat Melayu Wilayah Selatan Thailand khususnya di Pattani dalam usaha mereka mengekalkan identiti budaya dan agama.
“Walaupun tiada dasar khusus yang dilaksanakan oleh Abdullah untuk membantu umat Islam di Pattani, pendekatan diplomatik dan penekanan beliau terhadap nilai-nilai Islam yang progresif mungkin telah memberi kesan positif secara tidak langsung kepada komuniti di sini,” katanya.
Abdullah yang lebih dikenali sebagai “Pak Lah” meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam, Isnin. – TVS