MUKAH, 15 April: Penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mukah telah memberi impak besar kepada komuniti setempat khususnya kepada penduduk di sekitar Mukah, termasuk Kampung Petanak, Kampung Tellian, serta daerah-daerah berhampiran seperti Balingian dan Dalat.
Pembukaan rasminya telah disempurnakan pada 18 September 2001 oleh bekas Perdana Menteri Malaysia kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi satu titik penting terhadap perkembangan pendidikan di Mukah pada ketika itu.
Menurut Ketua Kaum Kampung Petanak Hilir, Norbert Bait, 63, SMK Mukah merupakan sekolah menengah ketiga di kawasan ini selepas SMK St. Patrick dan SMK Three Rivers.
“Penubuhan sekolah ini sangat dinantikan oleh masyarakat setempat kerana ia memudahkan akses kepada pendidikan menengah, khususnya bagi pelajar dari Kampung Petanak yang terletak sangat hampir dengan lokasi sekolah.
“Suatu ketika dahulu apabila mendengar SMK Mukah akan dibuka, apa lagi, penduduk gembira kerana anak-anak pun senang nak pergi sekolah, terutamanya dari Kampung Petanak dan Kampung Tellian.
“Sekolah ini benar-benar membantu dari segi pendidikan dan pencapaian pelajar pun boleh tahan, baik dari segi akademik mahupun aktiviti kokurikulum,” katanya ketika ditemui TVS di Mukah.
Norbert turut berkongsi bahawa anak bongsunya merupakan antara pelajar awal yang belajar di sekolah tersebut dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.
“Dia menamatkan pengajian menengah di sekolah ini dan masuk sekitar awal 2000, tapi bukan dalam kumpulan awal semasa ia dirasmikan, tapi ia sangat membantu komuniti di sini dalam aspek pendidikan,” tambahnya.
Beliau menyifatkan SMK Mukah bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar, tetapi turut mengeratkan hubungan komuniti melalui penglibatan dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang aktif membantu pihak sekolah dalam pelbagai aktiviti.
“Kewujudan SMK Mukah jelas memainkan peranan penting dalam memperkasakan pendidikan luar bandar dan memperkukuh jalinan komuniti,
“Ia juga sekali gus membuktikan bahawa pembangunan infrastruktur pendidikan adalah langkah penting dalam memajukan masyarakat secara menyeluruh, ini lah antara sumbangan terbesar Pak Lah kepada masyarakat Mukah” ujarnya.
Terdahulu, SMK Mukah mula dibina pada 19 Ogos 1999 dan pembukaan rasminya telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, pada 18 September 2001.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Allahyarham Tun Pehin Seri Datuk Patinggi Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak pada ketika itu dan sekolah ini secara rasmi mula beroperasi pada 5 Jun 2002. – TVS