KUALA LUMPUR, 15 April: Penubuhan Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan sumbangan terbesar oleh pemimpin itu kepada Bumi Kenyalang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pemimpin yang dikenali sebagai Pak Lah itu juga memberi pelbagai sumbangan lain dalam pembangunan Sarawak.
“SCORE yang (masih wujud hingga) sekarang ini sangat berjaya, banyak lagi sumbangan lain tapi inilah sebahagian daripada sumbangan besar kepada negara dan Sarawak.
“Bagi pihak saya, Premier (Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dan seluruh rakyat Sarawak, (kita semua) mengucapkan takziah dan mendoakan semoga roh arwah ditempatkan bersama orang beriman dan akan mendapat syurga Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengebumian Allahyarham Tun Abdullah di Makam Pahlawan Masjid Negara, hari ini.
Sementara itu, dalam konteks negara pula, Fadillah menjelaskan Allahyarham membawa konsep Islam Hadhari yang telah memasyarakatkan dan membudayakan agama Islam yang sederhana.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 7.10 petang di Institut Jantung Negara (IJN) setelah mengalami kesukaran bernafas.
Tun Abdullah mengemudi pentadbiran negara selaku Perdana Menteri kelima bermula 2003 hingga 2009.
Di bawah kepimpinan Allahyarham, agenda integriti, pembangunan modal insan, pengukuhan ekonomi wilayah melalui lima Koridor Ekonomi termasuk SCORE dan pengenalan konsep Islam Hadhari diberi perhatian.
Allahyarham meninggalkan balu Tun Jeanne Abdullah.
Menerusi perkahwinan dengan Allahyarhamah Tun Endon Mahmud yang meninggal dunia pada 2005, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tan Sri Kamaluddin Abdullah dan Nori Abdullah. -TVS.