BESUT, 9 April: Seorang pemandu lori didenda RM1,500 di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan memindahkan 53 ekor kambing dan biri-biri menggunakan lori tanpa kebenaran pada Januari lepas.
Majistret Nurliyana Md Zukri mengenakan denda tersebut kepada Mohamad Ismail Ab Rahman, 33, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.
Berdasarkan pertuduhan Mohamad Ismail didapati telah memindahkan 32 ekor biri-biri dan 21 ekor kambing menggunakan sebuah lori jenis Isuzu tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.
Kesalahan di bawah Perenggan 4(1)(b) Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Hawar Berdarah Bagi Negeri Terengganu (Tr.P.U.1) yang diwartakan di bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953 itu, dilakukan pada 21 Januari lepas pukul 11.30 malam di hadapan Steamboat Maju Kampung Padang Landak.
Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan ternakan berkenaan sebanyak RM18,913.50 dilucut hak dan menjadi hasil kerajaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah manakala Mohamad Ismail tidak diwakili peguam. – TVS.