Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pekerja Songkok Malaya memasang kain baldu dibahagian bumbung untuk menghasilkan songkok dan dijual sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan di bengkel pembuatan songkok yang terletak di Seksyen 19 di sini. Foto Bernama

Kempen kitar semula songkok didik rasa sayang alam sekitar, penerus legasi warisan

ByBernama

SHAH ALAM, 2 April: Perasaan sayang kepada alam sekitar di samping cita-cita meneruskan warisan bangsa, memberi inspirasi kepada anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor ini melaksanakan kempen kitar semula songkok lama atau rosak.

Mohd Hafzan Sardi, pengasas jenama Songkok Malaya, sebuah perniagaan berfokuskan pembuatan songkok premium serta tradisional, berkata walaupun kempen kitar semula itu dilaksanakan pertama kali pada Oktober 2024 dan hanya berlangsung selama dua bulan, sambutan masyarakat sangat menggalakkan.

“Terdetik nak buat kempen kitar semula ini berikutan kerja hakiki saya sebagai jurutera yang menjaga sumber air, khusus dalam kempen pemeliharaan serta pemuliharaan sungai di Selangor, yang secara tidak langsung mendidik saya untuk mengoptimumkan sumber.

“Contohnya, kadbod atau surat khabar yang digunakan sebagai bahan asas dalam pembuatan songkok tidak dibuang begitu sahaja, tetapi kami akan asing dan kitar semula sebagai baja atau dikumpulkan bersama-sama dengan sisa lebihan barangan lain sebelum dihantar ke pusat kitar semula,” katanya ketika ditemui Bernama di syarikatnya, di sini baru-baru ini.

Mohd Hafzan, 37, berkata menerusi inisiatif yang dihebahkan melalui media sosial rasmi Songkok Malaya itu, mereka dapat mengumpul hampir 200 songkok lama serta rosak selain turut menawarkan songkok baharu pada harga lebih rendah kepada mereka yang menukarkan dengan songkok lama.

“Harga pasaran untuk songkok tradisional premium ciptaan kami yang menggunakan fabrik sepenuhnya dijual pada harga RM50 hingga RM90 mengikut saiz, manakala kanak-kanak RM35.

“Namun, apabila mereka ingin menukar songkok lama, lusuh atau rosak daripada pelbagai jenama dengan songkok kami, harga yang kami tawarkan serendah RM25, manakala songkok kanak-kanak RM12.90, bergantung pada jenis dan reka bentuk yang ingin ditukar serta dibeli,” katanya.

Susulan sambutan menggalakkan pada kempen terdahulu, beliau berkata pihaknya akan menjalankan kempen kali kedua pada November depan.

“Kita memang nak buat kempen itu sepanjang masa sebab ada sambutan daripada masyarakat. Namun ada kekangan khususnya sumber manusia. Ketika ini kita hanya ada lima pekerja termasuk dua tukang jahit dan fokus kami buat masa ini lebih kepada jualan songkok,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Malaya Revolution Sdn Bhd itu.

Menceritakan bibit permulaan perniagaannya, Mohd Hafzan berkata beliau banyak menyertai pertandingan inovasi semasa berkhidmat di Lembaga Urus Air Selangor dari 2016 hingga 2020, yang mencetuskan ciptaan songkok tahan lasak dan boleh dibasuh.

“Songkok ini, secara tradisionalnya dibuat berasaskan kadbod ataupun surat khabar, dan jika basuh tidak kena aturan akan rosak. Namun dengan inovasi yang dikaji berterusan dari 2018 hingga 2020, bahan kadbod atau kertas surat khabar itu digantikan dengan fabrik yang lebih fleksibel serta berkualiti tinggi. Nak basuh guna mesin basuh pun boleh dan tidak merosakkan songkok.

“Selepas itu, saya mula berniaga secara kecil-kecilan, dan pada 2021 saya menyertai program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) serta terpilih sebagai seorang penerima geran bernilai RM500,000. Bertitik tolak dari situ saya mula mengembangkan perniagaan ini,” katanya.

Kini, Songkok Malaya yang mengeluarkan beberapa produk utama termasuk songkok tradisional gabungan reka bentuk Johor dan Brunei Darussalam serta songkok tempahan khas, mempunyai cawangan di Shah Alam, Selangor dan Marang, Terengganu selain pengedar di seluruh negara.

Selain itu, mereka juga membekalkan aksesori baju Melayu termasuk kerongsang songkok, tanjak dan samping untuk perayaan, majlis perkahwinan dan acara-acara kebudayaan.

Inovasi Mohd Hafzan turut menyaksikan beliau memenangi beberapa anugerah, antaranya Anugerah Reka Bentuk Malaysia 2023, Anugerah Inovasi Selangor 2022 dan pingat emas di National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (ICOMPex) 2022.

Selain itu, Songkok Malaya juga terpilih menyertai Program Lanjutan Usahawan Siswazah (GROW PLUS) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, iaitu satu program bimbingan keusahawanan selama sembilan bulan bermula Mac tahun ini, yang diharap dapat membantu mengembangkan jenama tersebut ke peringkat lebih tinggi, katanya.

Mohd Hafzan berharap lebih ramai anak muda, khususnya mereka yang berpendidikan tinggi, untuk bersama-sama melahirkan inovasi berkaitan pelbagai khazanah bangsa agar warisan budaya itu tidak hilang begitu sahaja. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan