KUCHING, 30 Mac: Medan Niaga Satok terus menjadi tumpuan orang ramai untuk melakukan pembelian barangan keperluan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Pesara Guru, Ramlah Juni berkata, pasar basah tersebut menjadi pilihan kerana segala keperluan yang diperlukan terutama bahan mentah mudah untuk didapati di tempat itu.
Menurutnya, keadaan di pasar basah yang luas itu memberi keselesaan untuknya mencari keperluan walaupun ramai orang membanjirinya sejak awal pagi.

“Tidak ada sesak pada waktu ini tapi mungkinlah pada waktu pagi.
“Ya selesa berjalan, mungkin di tempat yang dulu sempit tapi sekarang lebih luaslah tempat jualan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa tinjauan di Medan Niaga Satok di Kuching pada Ahad.
Selain itu, Pesara Guru, Rosli Naya berkata, harga untuk barang mentah di pasar basah sememangnya terdapat perbezaan kerana ada yang meningkat dan ada juga yang masih kekal pada harga seperti sebelum ini.
Oleh sebab itu, dia mengambil pendekatan untuk berbelanja dengan berhemah agar perbelanjaan semasa musim perayaan dapat dikawal.

“Harga barang tidak semuanya naik dan adanya harga macam biasa.
“Walau bagaimanapun, kita kena belanja secara berhemah lah untuk mendapatkan kadar perbelanjaan yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Menurut Pesara Lembaga Air Kuching (LAK), Abdul Rahman Mazdhi, terdapat juga barang yang mendapat sambutan yang tinggi seperti santan kelapa segar.
Tambahnya, dia perlu berbaris panjang di dua kedai santan di pasar tersebut untuk mendapatkan santan segar bagi kegunaan memasak pada Hari Raya Aidilfitri.

“Tadi saya ada dua tempat beli, yang satu, yang satu kilogram dan yang kedua baris lagi panjang.
“Buat sementara ini, saya tengok biasanya santan dah naik sikit sebab dua hari lepas, saya beli sekilo RM9 dan sekarang kan RM12 sekilo,” jelasnya. -TVS