KUCHING, 30 Mac: Projek pembangunan jalan utama tambahan iaitu Jalan Pesisir Sarawak kini mencapai 78 peratus siap.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, projek tersebut membabitkan jaringan jalan sepanjang 896 kilometer menghubungkan Kota Samarahan hingga ke Miri.
“Jalan Pesisir Sarawak (Sarawak Coastal Road) dijangka siap sepenuhnya pada 2027,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Raya Aidilfitri pada Ahad.
Pada masa sama Uggah turut memaklumkan projek pembangunan Jalan Utama Kedua yang kini mencapau lebih 30 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 2028.
“Jalan Utama Kedua (Second Trunk Road) adalah sepanjang 225 kilometer bermula dari Jambatan Batang Samarahan ke Roban Interchange sebelum bersambung dengan Lebuhraya Pan Borneo,” ujarnya.
Kedua-dua projek dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak .
Menurutnya, kedua-dua projek tersebut menelan kos sehingga RM11 bilion termasuk RM5.9 bilion untuk pembinaan 16 jambatan.
“Dana ini dibiayai sepenuhnya oleh Wilayah Sarawak sendiri, mencerminkan keupayaan negeri dalam membangunkan infrastrukturnya secara berdikari,” jelasnya.
Beliau turut memberi jaminan menjelang hujung tahun ini, sebanyal 11 jambatan akan mula dibuka diikuti empat lagi jambatan pada tahun hadapan.-TVS