KUCHING, 30 Mac: Ahli majlis atau kaunselor baharu untuk 24 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilantik mempunyai peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, sebagai kaunselor, tanggungjawab kepada orang ramai lebih besar, justeru komitmen yang teguh diperlukan untuk memberikan khidmat yang terbaik.
“Sebagai contoh, tiada bekalan elektrik mereka (orang ramai) akan mengadu kepada PBT berbanding mengadu terus kepada pihak SESCO. Sampah tidak dikutip mereka akan mengadu kepada PBT dibanding memberitahu kepada Trienekens, tiada air mereka mengadu kepada PBT dari mengadu terus kepada Lembaga Air Kuching.
“Jadi kami memberitahu kepada kaunselor PBT untuk menerima aduan dan melaporkan terus kepada pihak berkaitan. Sebab itu kaunselor memainkan peranan yang sangat penting,” katanya ketika ditemui TVS semasa menghadiri Mesyuarat Tahunan Persatuan Chung Hua Batu Kawa, hari ini.
Tambahnya, jumlah kaunselor yang dilantik telah meningkat sehingga lebih 100 orang dari 762 kepada 864 terutamanya di tiga daerah baharu iaitu Gedong, Siburan dan Sebuyau.
“Jadi sekarang Sarawak mempunyai 29 kawasan PBT. Dan Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai sistem seperti ini,” ujarnya.
Kaunselor baharu yang akan dilantik kata Dr Sim diberi tempoh selama tiga tahun perkhidmatan iaitu bermula 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028. – TVS