SIBU, 29 Mac: Keadaan lalu lintas di Pangkalan Feri Batang Paloh hari ini mula perlahan berikutan orang ramai pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan TVS di lokasi menyaksikan sejak awal pagi tadi, kenderaan sudah mula beratur di kawasan pangkalan bagi mendapatkan perkhidmatan feri yang menghubungkan mereka ke destinasi masing-masing.
Setakat ini, tiga buah feri disediakan untuk memberi perkhidmatan kepada pengguna jalan raya di kawasan berkenaan, namun jumlah kenderaan yang bertambah menyebabkan sedikit kelewatan dalam perjalanan.
Didapati kebanyakan pengguna jalan raya tetap bersabar menunggu giliran untuk menaiki feri, dengan ada yang mengambil peluang untuk berehat di tepi jalan sementara menunggu feri tiba.
Seorang pengguna, Matusin Seman, 35 yang dalam perjalanan pulang ke kampung di Matu berkata dia sudah menjangka kesesakan di pangkalan feri ini, namun berpuas hati dengan kelancaran perkhidmatan setakat ini.
“Saya bersyukur kerana pihak berkuasa telah menyediakan lebih daripada dua feri, yang membantu mengurangkan kesesakan walaupun terdapat sedikit kelewatan.
“Kita menjangkakan kesesakan berterusan sepanjang minggu ini apabila lebih ramai penduduk dari kawasan bandar turut mengambil cuti awal untuk pulang ke kampung bagi menyambut perayaan Aidilfitri bersama keluarga,” katanya kepada TVS.
Dalam pada itu, operasi feri dijangka akan terus sibuk sehingga hari terakhir sebelum dan sepanjang Hari Raya Aidilfitri.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab menasihatkan pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan mereka dengan baik serta mematuhi arahan petugas bagi memastikan keselamatan di kawasan pangkalan.
“Peningkatan jumlah kemderaan juga boleh menambah masa perjalanan apabila mereka terpaksa menunggu lama untuk menaiki feri di Batang Paloh disebabkan terlalu banyak kenderaan.
“Justeru mereka perlu merancang masa perjalanan dengan bijak, sikap sentiasa bersabar dan tenang juga penting sekiranya terperangkap ketika berdepan kesesakan menunggu feri,” katanya.
Beliau turut menyarankan orang ramai agar memeriksa kenderaan masing-masing sebelum memulakan perjalanan supaya tidak mengalami masalah kerosakan di tengah perjalanan dan selamat sampai ke destinasi yang dituju. – TVS