KUCHING,15 Mac: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menghentikan sementara operasi sistem kamera litar tertutup (CCTV) seliaannya hingga Jun depan.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu hantaran di Facebook rasminya bagi bertujuan memberi laluan kepada kerja-kerja penambahbaikan oleh Sarawak Multimedia Authority (SMA).
Menurut hantaran itu, kerja-kerja penambahbaikan itu merangkumi pemasangan tiang cctv tambahan serta penukaran peralatan khususnya kamera bagi mendapatkan resolusi yang lebih baik dan juga penambahan ciri-ciri A.I. (Artificial Intelligence).
“Bilangan CCTV dikawasan DBKU akan bertambah daripada 35 unit kepada 80 unit setelah selesai kerja-kerja pemasangan berkenaan,” catat hantaran berkenaan.
Kerja-kerja pemasangan peralatan serta penyambungan menggunakan talian fibre-optic oleh pihak SMA dijangka siap sepenuhnya sebelum penghujung Mei ini.
Dengan ini, hantaran itu menyatakan pihak DBKU memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul akibat kerja-kerja penambahbaikkan sistem CCTV DBKU ini.