KABONG, 15 Mac: Sebagai tanda sokongan terhadap program komuniti, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Hikmah Ranting Kabong bagi melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan sepanjang tahun 2025.
Menurut laporan UKAS, beliau mengumumkan khabar baik itu pada Majlis Pengagihan Bubur Beras Pedas dan Sumbangan Bakul Makanan Ramadan 1446H anjuran Jawatankuasa Hikmah Ranting Kabong di Kabong Town Square pada Jumaat.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan Ramadan, Dato Mohd Chee turut menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada 10 orang asnaf yang terpilih, selain menyempurnakan pengagihan sebanyak 300 bekas bubur beras pedas kepada penduduk sekitar Pusat Penjaja Kabong dan Kabong Town Square.
Menurut beliau, program ini bukan sekadar menyantuni golongan memerlukan, tetapi juga memupuk semangat perpaduan, kebersamaan serta amalan bersedekah dalam kalangan masyarakat.
“Saya amat menghargai usaha yang dilakukan oleh Hikmah Ranting Kabong dalam menjayakan program ini.
“Ia bukan sahaja membantu golongan asnaf tetapi juga mengeratkan hubungan silaturahim dalam komuniti. Semoga inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang,” katanya.
Dengan peruntukan yang diberikan, beliau berharap lebih banyak program kebajikan dan pembangunan masyarakat dapat dilaksanakan demi kesejahteraan penduduk di kawasan itu.