Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dr Juanda Jaya berucap sempena Program Citra Diri Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) Sarawak di Kuching, hari ini.

Dr Juanda: CEIO perlu berani laporkan salah laku pentadbiran

BySuara Sarawak

KUCHING, 6 Mac: Sarawak mencatat jumlah Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) tertinggi di Malaysia, dengan seramai 210 pegawai telah dilantik.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, berkata pelantikan CEIO ini bertujuan memperkukuh inisiatif pencegahan rasuah di pelbagai peringkat jabatan kerajaan.

“Usaha ini juga mencerminkan kesungguhan kerajaan Sarawak dalam memastikan pentadbiran yang lebih telus serta bebas daripada salah guna kuasa,” katanya ketika berucap sempena Program Citra Diri Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) Sarawak di sini, hari ini.

Menurutnya, CEIO yang dilatih oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan dilantik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak sebagai ejen pencegahan dalam jabatan masing-masing.

“Mereka adalah individu yang paling memahami operasi jabatan dan bertanggungjawab membantu kerajaan dalam mencegah rasuah di peringkat awal, iaitu di akar umbi jabatan.

“Mereka bukan sahaja bertanggungjawab mengaplikasikan ilmu yang diperoleh tetapi juga menguatkuasakan amanah yang diberikan,” ujarnya.

Tambahnya, CEIO juga perlu mempunyai keberanian untuk bertindak dalam melaporkan sebarang salah laku pentadbiran.

“Dengan sifat keberanian itu, mereka boleh menangani penyalahgunaan kuasa dengan menegur secara langsung, memaklumkan kepada ketua jabatan tentang isu pengurusan yang tidak baik, atau melaporkan kepada pihak berwajib.

“Perkara ini penting kerana salah laku sering bermula daripada ketidakpatuhan dalam pentadbiran dan perlu dibendung dari awal.

“Jangan takut untuk bertindak kerana perlindungan dijamin kepada pegawai yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti,” jelasnya.

Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan bahawa pencapaian jabatan-jabatan dalam meningkatkan ketelusan dan integriti amat membanggakan dalam tiga tahun kebelakangan ini.

“Tahun lepas, daripada 27 pihak berkuasa tempatan (PBT), hanya satu yang menerima teguran daripada audit negara, manakala 24 badan berkanun lulus audit tanpa sebarang teguran.

“Ini membuktikan keberkesanan usaha kita dalam membendung ketidakpatuhan terhadap peraturan,” tambahnya.

Sehubungan itu, kerajaan Sarawak telah mengambil langkah memperluaskan latihan CEIO ke luar Kuching bagi memastikan lebih ramai pegawai mendapat latihan yang diperlukan.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dengan menerapkan prinsip integriti, ketelusan, dan akauntabiliti sebagai asas dalam setiap tindakan, sebagai persediaan Sarawak mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Wan Mohammad Wan Drahman, penceramah, serta 90 peserta lain. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan