KUCHING, 10 Okt: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan komitmen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) memacu Kerajaan Sarawak mencapai misi dan visi bergelar negeri maju yang berintegriti tinggi menjelang 2030.
Menurut beliau CeIO bukan hanya berperanan untuk membudayakan integriti di dalam organisasi, tetapi juga memainkan peranan besar dalam memperkukuhkan budaya integriti dalam kalangan masyarakat.
“Ini penting agar penyampaian perkhidmatan yang diberikan kepada pemegang taruh dan rakyat bukan sahaja berkualiti, tetapi juga berlandaskan ketelusan dan integriti yang tinggi.
“Apabila perkhidmatan disampaikan dengan cara ini, kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan akan semakin kukuh, dan keyakinan pelabur untuk terus menyumbang kepada ekonomi Sarawak juga akan bertambah,” kata Abang Johari.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Integriti (MAP-i) 2024 di Dewan Kompleks Islam Kuching, hari ini.
Dalam pada itu Abang Johari memaklumkan Sarawak telah melahirkan seramai 211 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) yang telah ditempatkan di pelbagai Kementerian seramai 25 pegawai, 64 pegawai di Jabatan, 55 pegawai di Badan-Badan Berkanun (BBN), 28 pegawai di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), 27 pegawai di Pejabat Residen Negeri dan 12 pegawai di Agensi-Agensi lain.
Beliau menambah lagi jumlah tersebut menjadikan Sarawak sebagai negeri yang mempunyai bilangan CeIO teramai berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
“Saya percaya, bilangan yang ramai ini telah dapat merealisasikan hasrat kita untuk menempatkan sekurang-kurangnya seorang pegawai CeIO disetiap agensi di negeri Sarawak.
“Apabila CeIO menjalankan tugas mereka dengan baik, ia tidak hanya memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan, tetapi juga memastikan pentadbiran yang lebih telus dan bebas dari amalan rasuah,” kata Abang Johari lagi. -TVS



