KUCHING, 1 Mac: Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) berhasrat menubuhkan pejabat sebagai pusat operasi dalam usaha mempamerkan kebolehsuaian profesional media Kuching kepada masyarakat, kata presidennya, Ronnie Teo.
“Pada masa ini, kami tidak mempunyai sebarang kemudahan jangka penuh untuk menyimpan aset dan dokumentasi kami atau untuk mengadakan mesyuarat,” katanya pada majlis makan malam Tahun Baharu Cina KDJA di sebuah hotel terkemuka pada Jumaat.
Justeru itu, Teo memohon Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian membantu pihaknya untuk merealisasikan cadangan mereka pada tahun ini.
Inisiatif untuk memiliki pejabat atau pusat pengoperasian sendiri, kata Teo menggambarkan persamaan antara perjalanan persatuan itu yang seumpama simbolisme tahun ular pada sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.
Meskipun terdapat cabaran industri seperti langkah penjimatan kos, pengecilan saiz dan menghentikan pencetakan surat khabar, Teo memberi jaminan bahawa dedikasi media tempatan tetap teguh untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Ketika kita memulakan Tahun Ular, saya berdiri di sini hari ini dengan rasa syukur dan kagum atas kerja yang telah dilakukan oleh media Kuching sepanjang tahun lalu,” ujarnya.
Teo turut menzahirkan rasa bangga melihat pengamal media tempatan yang nekad menyesuaikan diri dengan perubahan untuk mengikuti teknologi dan trend terkini.
Terdahulu, Dr Sim hadir bagi meraikan sekitar 150 orang pengamal media Kuching pada majlis berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi) Datu Hii Chang Kee, ADUN Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang, ADUN Batu Lintang See Chee How, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap, Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Kai.