Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengerusi Persatuan Belia Miri, Matassan Rohani (tengah) berharap kedua-dua program anjuran Persatuan Belia Miri itu bakal disambut baik oleh masyarakat khususnya di sekitar Miri. Foto Ahnaf Tuah (TVS)

Juh Berambeh Sungkei 3.0 bakal berlangsung di Stadium Bandaraya Miri

ByNur Suhaida Muliyono

MIRI, 27 Feb: Juh Berambeh Sungkei Miri yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya akan dilangsungkan di lokasi baharu yang lebih strategik dan selesa.

Pengerusi Persatuan Belia Miri, Matassan Rohani memaklumkan Juh Berambeh Sungkei 3.0 akan diadakan di Stadium Bandaraya Miri pada 22 Mac.

“Pada tahun pertama penganjuran, kita berjaya menarik lebih kurang 2,300 pengunjung dan tahun kedua melonjak lebih tinggi, lebih 2,400 pengunjung yang hadir dan ketika itu, kita menyediakan tapak usahawan dan berbuka bersama pengunjung yang hadir.

“Agihan bekalan makanan dan sumbangan duit raya juga disampaikan oleh Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah kepada anak-anak yatim dan golongan asnaf yang dijemput ketika itu.

“Untuk tahun ketiga ini, kita ubah konsep dan kita akan buat di stadium tertutup,” katanya.

Matassan berkata demikian ketika ditemui TVS selepas meninjau tapak Bazar Belia Raya di perkarangan tempat letak kereta Stadium Bandaraya Miri di sini hari ini.

Beliau optimis dengan pengisian program termasuk tazkirah dan dendangan lagu raya daripada penyanyi terkenal tanah air.

Pada masa sama katanya, penganjuran bazar Ramadan dan Bazar Belia Raya di tapak letak kereta stadium dijangka meningkatkan jumlah pengunjung ke program berkenaan.

“Setakat ini kita masih merisik penyanyi Ayai Illusi dan juga Aisyah. Masih dalam risikan, belum pasti lagi tetapi kita akan kemas kini maklumat mengenainya dari semasa ke semasa. Untuk ceramah pula kita akan ambil guru dari Miri.

“Persiapan untuk Juh Berambeh Sungkei akan dijalankan sehari sebelum dan kita perlu ada penelitian daripada segi promosi dan pemasaran untuk menarik lebih ramai pengunjung dan peluang yang datang hari ini daripada TVS pun turut memberi rangsangan kepada orang awam untuk hadir ke program tersebut,” ujarnya.

Matassan turut menyatakan harapan agar Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dapat hadir untuk memeriahkan program tersebut.

Sementara itu, Matassan turut memaklumkan Persatuan Belia Miri juga bakal menganjurkan Bazar Belia Raya 2025 buat julung kalinya dengan sasaran penyertaan 40 usahawan tempatan.

Pendaftaran masih dibuka sehingga 12 Mac ini, manakala bazar berkenaan dijadualkan beroperasi bermula 15 Mac hingga 30 Mac depan.

“Untuk konsep Bazar Belia Raya tahun ini, kita lebih merujuk kepada suasana dan ia akan ke arah Riang Ria Hari Raya kerana dalam suasana tersebut, ada dendangan lagu daripada artis-artis tempatan yang sebelum ini pernah diketengahkan di TVS.

“Dari segi jualan yang kita sasarkan pada tahun ini, lebih kepada keperluan bekalan hari raya seperti katerer yang boleh menerima tempahan, jualan biskut, kuih raya, kek lapis Sarawak dan yang berkaitan dengan makanan-makanan hari raya,” jelasnya.

Bazar Belia Raya merupakan yang pertama seumpamanya di Miri dan dianjurkan dengan sokongan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.

Antara pengisian sepanjang penganjuran bazar termasuk sesi ceramah, aktiviti keagamaan serta persembahan lagu raya bagi menghidupkan suasana perayaan.

Dalam pada itu, Matassan berharap lebih ramai usahawan tempatan akan menyertai bazar tersebut bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri di Miri. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan