KUALA LUMPUR, 25 Feb:Proses penggabungan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dengan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) setakat ini berjalan lancar, kata Datuk Hasbi Habibollah.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata ketika ini beberapa aspek masih dalam perbincangan termasuk soal pentadbiran, penstrukturan staf serta pengagihan tugas.
Pada masa sama kata beliau kementerian sedang menentukan tarikh yang sesuai untuk pelaksanaannya yang dijangka pada tahun ini.
“Semua aspek kita sedang teliti supaya proses peralihan tidak memberi kesan kepada industri, operasi dan gaji pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Majlis Apresiasi MAVCOM, di sini, hari ini.
Sebelum ini, penggabungan CAAM dan MAVCOM dilaporkan akan dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini dan akan diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Pada 30 Julai 2024, dua Rang undang-undang (RUU) berkaitan industri penerbangan telah diluluskan di Dewan Rakyat iaitu RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024, dan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024.
Ini secara langsung akan membubarkan MAVCOM dan perananya akan dipindah kepada CAAM, bagi meningkatkan kecekapan industri penerbangan dengan memperkukuh komunikasi antara pihak pengawal selia ekonomi dan teknikal.
Sementara itu ketika berucap pada majlis berkenaan, Hasbi berkata industri penerbangan berdepan dengan cabaran yang tidak pernah dihadapi termasuk permintaan tinggi dalam skala global, perubahan iklim dan perubahan teknologi.
“Oleh itu, pendekatan kita mestilah fleksibel, inovatif dan berfikiran kehadapan, terutama sekali keadaan ekonomi global yang tidak menentu supaya industri penerbangan kita tidak mundur dan terus berkembang,” tambahnya. – TVS