PETALING JAYA, 23 Feb: Ketua Jurulatih Selangor FC Kinoshi Katsuhito menganggap kejayaan pasukan itu menjulang Piala Cabaran edisi 2024/2025 malam tadi sebagai satu pencapaian yang amat penting, namun mengingatkan bahawa ia hanyalah permulaan kepada perjalanan yang lebih jauh dan mencabar untuk kelab itu.
“Saya amat berpuas hati dengan aksi pemain. Bukan sahaja pemain, tetapi juga semua petugas yang terlibat, mereka bekerja keras untuk memberikan yang terbaik, dari segi penyediaan padang, persekitaran, latihan, pemakanan dan segalanya.
“Usaha ini mencipta sejarah, dan kami telah belajar banyak daripada kejuaraan ini,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan malam tadi.
Selangor FC menepati ramalan apabila meraih kemenangan bergaya dengan agregat 7-0 ke atas PDRM FC untuk julung kali menjulang Piala Cabaran pada edisi 2024/2025 ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Gergasi Merah yang akhirnya menamatkan penantian satu dekad selepas kali terakhir menjulang trofi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada Piala Malaysia 2015.
Di sebalik pencapaian itu, Katsuhito mengakui tidak semua penyokong Selangor berkongsi keterujaan yang sama, justeru beliau menggesa peminat untuk terus berdiri teguh di sisi pasukan, memberikan sokongan, dan mengiktiraf pengorbanan pemain.
“Ini adalah pilihan mereka (peminat), jadi saya tidak boleh katakan apa-apa mengenainya, tapi untuk menjadi juara tidak pernah mudah. Sesetengah pemain boleh bermain, ada yang tidak, tetapi semua orang menyumbang. Teruskan menyokong pemain dan hargai kerja keras mereka. Itu pendapat saya,” katanya.
Piala Cabaran diperkenalkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sejak 2018 dengan Terengganu FC II (TFC II) bergelar juara pada edisi sulung diikuti Johor Darul Ta’zim II (2019) dan PDRM FC pada musim 2023.
The Challenge Cup was introduced by the Malaysian Football League (MFL) in 2018, with Terengganu FC II (TFC II) winning the inaugural edition, followed by Johor Darul Ta’zim II (2019) and PDRM FC in 2023. -TVS