Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Borneo International Consumer Expo (BICE) 2025 yang julung kali diadakan di Sarawak menerima sambutan yang luar biasa daripada pengunjung tempatan dan antarabangsa. Foto TVS

BICE 2025 platform perkenal produk tempatan, antarabangsa

ByWilly Jali

KUCHING, 23 Feb: Borneo International Consumer Expo (BICE) 2025 yang julung kali diadakan di Sarawak menerima sambutan yang luar biasa daripada pengunjung tempatan dan luar negara.

Acara itu bukan sahaja menjadi platform bagi peniaga memperkenalkan produk mereka, namun sebahagian daripada wadah untuk memperkenalkan produk tempatan dan luar negara kepada masyarakat.

Tinjauan TVS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) mendapati rata-rata peniaga meluahkan rasa teruja dengan sambutan yang diterima.

Bagi seorang peniaga yang berasal dari Tawau, Mohammad Alif Abdullah, 37, acara ini menjadi platform yang berkesan bagi mempromosikan produk tempatan kepada luar negara, terutama produk dari Sabah.

“Selama empat hari kami berada di sini, sokongan daripada orang Sarawak, khususnya orang Kuching, sangat memberangsangkan dan kuasa beli di sini juga sangat tinggi.

“Acara ini membantu kami memperkenalkan produk-produk dari Sabah ke Sarawak, lebih-lebih lagi apabila ada pengunjung yang datang dari Brunei dan Indonesia,” katanya ketika ditemui TVS pada Borneo International Consumer Expo 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.

Senada dengan Alif iaitu Supriatin Dasman, 47, turut menyatakan kepuasannya terhadap penganjuran acara sedemikian.

Ujarnya, ia juga turut membantu untuk meningkatkan pasaran produknya kepada peringkat yang lebih luas lagi.

“Alhamdulillah, dengan program ini, kita mendapat banyak impak yang positif. Selama empat hari program ini, sambutan sangat mengalakkan dan banyak yang membeli produk saya. Ada dalam negara dan luar negara seperti Brunei,” ujarnya.

Acara besar-besaran ini bukan sahaja menampilkan peniaga-peniaga tempatan, malah tidak ketinggalan peniaga daripada luar negara yang turut berkesempatan untuk mempamerkan produk masing-masing.

Sementara itu, Fridayanti, 51, turut berkongsi pengalaman berharga sepanjang empat hari beliau menyertai acara ini.

Anak kelahiran Pontianak, Indonesia itu meluahkan rasa teruja dan berbesar hati dengan penganjuran acara ini, kerana ia memberikan peluang emas untuk dia memperkenalkan produk-produk dari Indonesia kepada masyarakat di Sarawak.

“Saya sangat gembira dan terima kasih penduduk Sarawak kerana membeli produk saya. Alhamdulillah program ini sangat baik dan jualan saya di sini sangat baik dan menerima sambutan daripada penduduk tempatan dan luar negara.

“Program ini memberi impak yang baik dan positif. Saya dapat melihat penduduk Sarawak datang untuk membeli produk saya. Secara tidak langsung, saya dapat memperkenalkan produk negara Indonesia kepada orang ramai,” katanya.

Borneo International Consumer Expo 2025 berlangsung selama empat hari, bermula pada 20 Februari hingga hari ini.

Acara ini menghimpunkan lebih daripada 600 peniaga tempatan dan antarabangsa serta mempamerkan pelbagai produk, perkhidmatan dan teknologi terkini.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan