PAKAN, 18 Feb: Penduduk Rumah Kalut Sat kini menikmati kemudahan jalan yang lebih baik dengan siapnya projek jalan raya yang di sini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom.
Menurutnya, projek yang dianggarkan menelan kos RM100,000 itu membuktikan komitmen kerajaan menyediakan pembangunan kepada penduduk luar bandar di kawasan berkenaan.
“Kerajaan sentiasa mengutamakan rakyat dan pembangunan dibahagikan dengan seimbang dan tiada unsur pilih kasih kerajaan sentiasa komited dalam membawa pembangunan ke kawasan luar bandar, khususnya di Pakan,” katanya pada Majlis Perasmian Jalan Pendai Rumah Kalut Sat di Pakan pada Selasa.
Selain pembangunan infrastruktur, menurut William, kerajaan juga berusaha untuk mengatasi masalah komunikasi di kawasan Pakan bagi memastikan penduduk dapat berhubung dengan dunia luar dengan lebih mudah.
“Kita (kerajaan) berusaha membantu mengatasi masalah arus komunikasi di Pakan untuk kegunaan dalam komunikasi seterusnya dapat membolehkan mereka berhubung dengan dunia luar,” katanya.
Dalam majlis itu, beliau turut menyeru kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Pakan agar lebih peka terhadap permasalahan rakyat dan menyampaikannya melalui saluran yang betul kepada kerajaan.
Sebagai tanda sokongan kepada masyarakat setempat, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Kalut.-TVS