JOHOR BAHRU, 13 Feb: Petinju sensasi Sarawak, Daeloniel Mcdelon Bong yang terkenal dengan julukan ‘Kilat Boy’ menewaskan petinju Filipina, Prince Andrew Laurio dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor 2025.
Kilat Boy mempamerkan aksi cemerlang dengan kemenangan bergaya menerusi teknik ‘technical knockout ‘(TKO) yang hanya mengambil masa sehingga pusingan kedua untuk memastikan kemenangan mutlak ke atas lawannya.
Pada pusingan terakhir petinju kelahiran Sri Aman itu melakukan serangan agresif dan tepat sehingga tidak dapat ditahan lagi oleh petinju Filipina, memaksa pengadil untuk menghentikan perlawanan.
Kemenangan ini bukan sahaja menambah koleksi pencapaiannya, malah mengukuhkan status Kilat Boy sebagai salah satu bintang tinju paling menyerlah di Malaysia.
Prestasinya yang luar biasa turut menjadi kebanggaan Sarawak dan negara, sekali gus membuka peluang untuknya terus menonjol di pentas antarabangsa.
Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor 2025 yang berlangsung di Johor Bahru itu menyaksikan penyertaan ramai petinju berbakat dari serata dunia menjadikan kemenangan Kilat Boy satu pencapaian yang cukup membanggakan.-TVS