KUALA LUMPUR, 12 Feb: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperluaskan platform Fasiliti Perkongsian Kemudahan dan Peralatan Saintifik Nasional (NSFE) untuk meningkatkan kecekapan ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, NSFE diperkenalkan dengan tujuan untuk menyediakan satu pusat sehenti bagi perkongsian maklumat saintifik, fasiliti dan peralatan penyelidikan di negara ini.
“Dasar utama di sebalik NSFE adalah untuk mengoptimumkan penggunaan fasiliti saintifik bagi membolehkan penyelidik, universiti dan industri mengakses senarai fasiliti dan peralatan saintifik yang tersedia.
“Selain itu, mengelakkan pembaziran dengan menggalakkan perkongsian fasiliti yang sedia ada dan menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan memberikan akses kepada kemudahan canggih untuk menyokong penyelidikan di pelbagai bidang,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (Perikatan Nasional – Merbok) yang ingin tahu bagaimana platform NSFE dapat menggalakkan aspek pemindahan teknologi dari segi perkongsian kemudahan dan kepakaran dalam komuniti sains, teknologi dan inovasi (STI) di samping mempergiat kerjasama R&D dengan semua pemegang taruh.
Usaha lain kata Mohammad Yusof termasuk memupuk kerjasama antara sektor menerusi rangkaian antara institusi akademik, agensi kerajaan dan sektor swasta untuk menggalakkan kolaborasi dalam penggunaan fasiliti saintifik.
Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 4,208 rekod peralatan dan fasiliti penyelidikan telah didaftarkan iaitu melibatkan 996 fasiliti dan 3,212 peralatan saintifik daripada 162 organisasi.
“Analisis dan penemuan terhadap manfaat perkongsian fasiliti dan peralatan manfaat perkongsian fasiliti dan peralatan adalah termasuk tahap penggunaan peralatan, kos penyelenggaraan dan kecekapan, amalan perkongsian fasiliti dan peralatan serta saiz dan kos fasiliti,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohammad Yusof menambah, untuk mengatasi cabaran yang dihadapi, MOSTI turut mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan.
“Pertama, pengoptimuman penggunaan peralatan menerusi program kesedaran dan insentif untuk memanfaatkan peralatan yang digunakan secara rendah, kedua, memperluas perkongsian fasiliti dan peralatan dengan menggalakkan lebih banyak organisasi untuk berkongsi fasiliti dan peralatan melalui program.
“Ketiga, penilaian kecekapan kos dengan melihat kepada keberkesanan kos penyelenggaraan tahunan dan memastikan pelaburan ke dalam peralatan memberi pulangan maksimum kepada ekosistem STI negara dan keempat, pembangunan platform digital yang lebih interaktif dengan memanfaatkan dan menambahbaik KRSTE.my sebagai platform digital utama,” katanya. – TVS.