KUALA LUMPUR, 12 Feb: Pelaksanaan Dasar Inovasi Sosial (DIS) pada 16 Disember tahun lalu bertujuan memacu masyarakat Malaysia ke arah yang lebih berdaya cipta, berdaya tahan dan memperoleh peluang yang lebih adil dalam kesejahteraan ekonomi, sosial serta persekitaran yang mampan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, menerusi dasar tersebut, ia diharap akan mewujudkan tadbir urus yang lebih efisien dalam menangani cabaran ketidaksamarataan sosial dan ekonomi yang wujud dalam kalangan masyarakat.
“Antara cabaran awal yang dikenal pasti, pertama, kekurangan pengetahuan dan kolaborasi strategik dalam kalangan masyarakat berhubung inovasi sosial serta manfaatnya, sekaligus boleh menghalang penerimaan dan penglibatan aktif mereka dalam inisiatif tersebut.
“Kedua, lanskap pemberian insentif yang tidak bersasar juga menyebabkan inovasi sosial sukar untuk dikembangkan manakala ketiga, infrastruktur dan infostruktur yang kurang berdaya saing.
“Keempat, keupayaan berinovasi yang rendah, kekurangan bakat dan jurang kemahiran untuk menghadapi Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) juga menjadi cabaran dalam pelaksanaan DIS,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Antara lain, kata Mohammad Yusof, kelemahan inovator tempatan mematuhi piawaian global disebabkan kekurangan pengetahuan, sumber dan koordinasi menyebabkan produk gagal memasuki pasaran antarabangsa.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Hasni Mohammad (Barisan Nasional – Simpang Renggam) yang ingin tahu cabaran utama dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan DIS di peringkat komuniti, terutamanya dalam merapatkan jurang ketidaksamarataan sosial dan ekonomi.
Menurut Mohammad Yusof, bagi mengatasi cabaran-cabaran yang ada, beberapa intervensi strategik telah dicadangkan termasuk program jangkauan luar yang akan diperkenalkan untuk memberi pendedahan yang lebih meluas mengenai inovasi sosial kepada masyarakat.
“Kedua, memperkemas dan menyelaraskan pemberian insentif bagi meningkatkan keberhasilan dan juga impak kepada masyarakat.
“Ketiga, Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dengan kerjasama pelbagai rakan strategik menawarkan fasiliti Ruang Daya Cipta (RDC) sebagai Hab Reka Cipta, Teknologi dan Inovasi di komuniti yang memberikan peluang pembelajaran, latihan dan bantuan teknikal,” ujarnya.
Selain itu, katanya, kementerian juga menggalakkan Pensijilan Kemahiran Malaysia (SKM) untuk inovator, dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia, serta memberi pendedahan kepada piawaian global kepada inovator sosial yang berpotensi. – TVS