KUALA LUMPUR, 12 Feb: Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama yang membekalkan minyak sawit ke Asia Tengah serta memperluaskan penguasaan pasaran minyak sawit di Pakistan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, strategi ini dirangka secara komprehensif untuk memanfaatkan peluang yang ada serta memenuhi keperluan unik pasaran yang sedang berkembang.
“Pada tahun 2024, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia ke negara-negara di Asia Tengah iaitu negara Uzbekistan, Kazakhstan, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Turkmenistan adalah berjumlah 54,665 tan, dengan nilai sebanyak RM288.23 juta.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, MPOC selaku agensi yang bertanggungjawab mempromosikan minyak sawit Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif di rantau tersebut,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Barisan Nasional – Tampin) berhubung usaha terbaharu yang digerakkan kementerian bagi menjadikan Malaysia sebagai pemain industri terbesar dalam pembekalan minyak kelapa sawit di Asia Tengah.
Mengulas lanjut, Foong Hin berkata, pameran FoodExpo Qazaqstan 2023 dan UzFood 2025 menjadi platform utama bagi MPOC untuk memperkenalkan produk minyak sawit dan menekankan khasiat serta kelebihannya.
“Peluang ini digunakan sebaik mungkin oleh pihak MPOC untuk memperkenalkan produk-produk sawit di samping mengetengahkan kelebihan dan khasiat minyak sawit.
“Usaha-usaha ini mendapat sambutan positif daripada pengeksport minyak sawit Malaysia, yang terus menyokong dan mengambil bahagian dalam program-program tersebut untuk memacu pertumbuhan minyak sawit Malaysia di rantau ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Foong Hin berkata, Pakistan yang kekal sebagai antara 10 negara pengimport terbesar minyak sawit Malaysia, juga menjadi tumpuan utama dalam strategi MPOC.
“Pada tahun 2024, Pakistan mengimport 860,260 tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia, mencerminkan hubungan perdagangan yang baik antara kedua-dua negara.
“Bahagian eksport Malaysia ke pasaran Pakistan dijangka kekal antara 18-25 peratus daripada keseluruhan import minyak sawit di negara tersebut, bergantung kepada dinamik harga dan keadaan semasa pasaran,” katanya.
Tambah Foong Hin, MPOC juga menyasarkan peningkatan kerjasama dengan sektor hiliran melalui usahasama antara syarikat Malaysia dan Pakistan, seperti Mapak Qasim Bulkers, yang ditubuhkan antara Westbury Group dan konsortium syarikat FELDA, IOI Edible Oils, dan KLK. – TVS