KUALA LUMPUR, 6 Feb: Malaysia mencatat kejayaan luar biasa apabila Kempen Penanaman 100 Juta Pokok berjaya mencapai sasaran setahun lebih awal, dengan jumlah penanaman kini mencecah 109,276,202 pokok sehingga Rabu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, walaupun sasaran telah dicapai, kempen ini akan diteruskan hingga akhir tahun ini bagi memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kawasan hijau dan pemuliharaan hutan.
“Pada tahun ini, tumpuan aktiviti akan melibatkan usaha pemulihan melalui rawatan di beberapa kawasan penanaman di bawah program ini.
“Langkah ini bertujuan memastikan kadar pertumbuhan pokok yang ditanam berada dalam keadaan optimum serta menyokong pemuliharaan ekosistem semula jadi,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Perikatan Nasional – Kota Bharu) yang ingin tahu status terkini pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dan perancangan kementerian di masa hadapan sekiranya sasaran telah dicapai.
Selain itu, kata Nik Nazmi, aktiviti penanaman pokok baharu akan diteruskan secara berterusan untuk membantu kerajaan-kerajaan negeri mencapai sasaran penanaman yang telah ditetapkan di setiap negeri di bawah pelaksanaan program ini.
Jelasnya lagi, bagi memastikan kesinambungan program berkenaan, kementerian turut bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan di seluruh negara.
“Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Yayasan Hijau Malaysia, Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hutan Sarawak sedang meneliti dan merencana hala tuju pelaksanaan program ini selaras dengan keperluan dan objektif Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13),” ujarnya. – TVS