Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada Majlis Perasmian Pasar Malam Belia N6 Metrocity 2, malam tadi. Foto TVS

Pasar Malam Metrocity 2 kini lebih besar, tapak niaga belia yang semakin berkembang

ByRegina Lee

KUCHING, 2 Feb: Pasar Malam Belia N6 Metrocity 2 kini menjadi medan niaga yang lebih besar dan selesa berbanding lokasi sebelumnya dengan 435 gerai jualan yang menawarkan pelbagai makanan, barangan kering serta hasil tani.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan pasar malam ini sebagai satu inisiatif penting dalam membantu golongan belia meningkatkan ekonomi mereka.

Menurut beliau, ia bukan sekadar tempat berniaga tetapi juga berpotensi menjadi daya tarikan pelancongan baharu bagi Bandaraya Kuching.

“Pasar malam ini memberikan peluang kepada belia untuk menceburi bidang keusahawanan, selain menjadi tumpuan ramai penduduk setempat.

“Saya juga mencadangkan supaya pasar malam ini bekerjasama dengan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak agar ia dapat dipromosikan sebagai salah satu destinasi pelancongan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian pasar malam tersebut malam tadi.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman dan Pengerusi Pasar Belia N6 Metrocity 2, Mohamad Khairuzie Bolhassan.

Mengulas lanjut Fadillah menyatakan walaupun tapak pasar malam tersebut masih disewa daripada pemaju dengan keluasan empat ekar, pihak pengurusan sedang berusaha untuk mencari lokasi tetap yang lebih sesuai bagi menjamin kesinambungannya dalam jangka panjang, di samping menambahbaik infrastruktur awam.

“Ini kerana dengan kawasan yang lebih luas dan tersusun, lokasinya lebih selesa berbanding lokasi-lokasi lain yang pernah diwujudkan sebelum ini, selain menjadi pilihan utama bagi peniaga untuk memasarkan produk mereka.

“Untuk menambah keselesaan pengunjung, beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan, termasuk pembinaan surau, pemasangan pagar di sekeliling tapak pasar malam dan struktur bangunan seragam yang boleh digunakan sepanjang tahun tanpa mengira cuaca,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut menekankan bahawa kejayaan sesuatu pasar malam bergantung kepada komitmen pengurusan serta kerjasama antara peniaga, pihak persatuan dan agensi kerajaan.

“Yang penting ialah pengurusan, jika persatuan yang mengendalikannya mempunyai komitmen yang tinggi serta sentiasa berusaha menambah baik kemudahan dan promosi, maka pasar ini dapat bertahan lama,” tambahnya.

Pasar Malam Belia N6 Metrocity 2 mula beroperasi sejak 1 Januari lalu, bermula jam 4 petang hingga 12 tengah malam mulai hari Rabu dan akan beroperasi sehingga ke hari Sabtu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan