SEPANG, 2 Feb: Kerajaan bersedia untuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan sistem dan kaedah baharu dalam usaha meningkatkan keupayaan pengurusan sempadan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini kerana keperluan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) adalah sangat kritikal terutama dalam strategi kawalan sempadan negara.
“Penggunaan teknologi AI dalam kawalan pintu masuk dan sempadan melalui sistem dan aplikasi terkini secara optimum akan membantu pegawai-pegawai di pintu masuk memantau, menilai, merancang dan menguatkuasakan tindak balas terhadap sebarang bentuk ancaman dan cabaran yang dihadapi,” katanya pada Majlis Peluncuran Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Tambahnya, pendekatan proaktif itu dapat membantu agensi seperti AKPS memintas sebarang potensi ancaman sebelum berlaku dan meningkatkan tahap keselamatan di pintu masuk dan sempadan negara secara keseluruhan.
Sementara itu, Fadillah berkata inisiatif ini adalah mustahak terutama dalam konteks Pengerusi Asean 2025 bagi mengesahkan komitmen negara terhadap kerjasama dan integrasi serantau.
“Dengan meningkatkan keupayaan kawalan sempadan, kita bukan sahaja menjaga kedaulatan malah memudahkan pergerakan supaya lebih lancar merentasi sempadan dalam rantau ASEAN.
“Ini penting kerana kita berusaha ke arah Asia Tenggara yang lebih terhubung dan makmur,” katanya.
Beliau memberitahu, pengurusan sempadan negara yang efisien mampu dilaksanakan dengan kerjasama bersama institusi akademik, rakan kongsi sektor swasta serta penerapan amalan terbaik oleh negara-negara lain. – TVS



