KUCHING, 30 Jan: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Kranji, Bau ditutup pada pukul 2:00 petang tadi.
Menurut kemaskini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, 49 PPS lagi masih aktif di 14 daerah di Sarawak setakat jam 4:00 petang tadi.
Dalam masa sama, JPBN turut melaporkan bahawa trend semasa menunjukkan peningkatan dengan lebih 6884 mangsa daripada 1865 keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan.
Daerah Serian masih lagi merekodkan jumlah PPS paling banyak iaitu 14 PPS, diikuti Miri (9) dan Selangau serta Siburan dengan masing-masing dengan 4 PPS.
Dari segi jumlah mangsa, PPS Stadium Muhibbah Bintulu menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 907 mangsa daripada 222 keluarga.
Mereka dipindahkan dari kawasan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew, Spring Ville, Sungai Plan dan Taman Sebiew Indah yang terjejas teruk oleh banjir sejak Selasa lalu. -TVS