KUCHING, 28 Jan: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menyeru semua pihak untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan bencana susulan Amaran Hujan Berterusan Buruk (Jingga) dan Amaran Hujan Berterusan Waspada (Kuning) yang dikeluarkan pada jam 9 pagi tadi.
Dalam kenyataan pada Selasa, MET Malaysia menegaskan pentingnya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah mengaktifkan operasi bencana serta memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap maksimum.
“Semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) perlu dilengkapi dengan keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan bekalan kecemasan.
Di samping itu, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) hendaklah memastikan aset pengoperasian sentiasa berada dalam keadaan baik dan bersedia digunakan,” jelas kenyataan tersebut.
Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) komited menjalankan pemantauan situasi secara berterusan dengan kerjasama agensi teknikal lain. NDCC turut memastikan bantuan pengurusan dan operasi bencana dapat dilaksanakan dengan segera sekiranya diperlukan.
Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi MET Malaysia atau NADMA.
Untuk sebarang pertanyaan atau kecemasan, sila hubungi talian bencana atau pihak berkuasa tempatan yang berdekatan.Bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui talian telefon 03-8064 2400, faksimili 03-8064 2429 dan alamat e-mel opsroom@nadma.gov.my. -TVS