Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto hiasan TVS

Mahkamah Agung sahkan undang-undang pengharaman TikTok di Amerika Syarikat

ByBernama

HOUSTON (Amerika Syarikat), 17 Jan: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS)pada Jumaat mengesahkan undang-undang yang akan mengharamkan penggunaan TikTok di negara iniĀ  melainkan syarikat induknya yang berpangkalan di China, ByteDance, melupuskan kepentingannya dalam aplikasi media sosial popular yang digunakan hampir 200 juta rakyat Amerika, lapor Agensi Anadolu.

Pelupusan itu dijangka tidak berlaku kerana tarikh akhir pengharaman TikTok adalah Ahad ini, 19 Jan. Bagaimanapun, tarikh itu hanya sehari sebelum Donald Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden, dan pentadbiran Joe Biden telah memberi isyarat bahawa ia tidak bercadang untuk menguatkuasakan undang-undang berkenaanĀ sebelum Trump mengangkat sumpah jawatan.

Mahkamah tertinggi negara iniĀ memutuskan bahawa ultimatum pelupusan atau diharamkanĀ tidak melanggar hak kebebasan bersuara dan ekspresi di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan AS, sejajar dengan pendirian pentadbiran Biden, walaupun Trump sebelum ini menggesaĀ mahkamah itu menangguhkan tarikh akhir berkenaanĀ untuk membolehkan beliau merundingkan penyelesaian bagi mengekalkan TikTok di AS.

“Tidak diragukan bahawa bagi lebih 170 juta rakyat Amerika, TikTok menyediakan platform unik dan meluas untuk ekspresi, interaksi, serta sumber komuniti,” kata mahkamah dalam pendapat tanpa tandatangannya.

“Namun, Kongres telah menentukan bahawa pelupusan adalah perlu untuk menangani kebimbangan keselamatan negara berkaitan amalan pengumpulan data TikTok dan hubungannya dengan pihak asing yang dianggap musuh.

Di bawah keadaan ini, kami mendapati justifikasi pengumpulan data oleh kerajaan adalah mencukupi untuk menyokong peruntukan yang dicabar,” menurut keputusan itu.

Undang-undang bipartisan itu, yang diluluskan oleh Kongres dan ditandatangani Biden pada April lepas, memberikan ByteDance tempoh 270 hari untuk melupuskan kepentingannya dalam TikTok atau diharamkan di AS.

Keputusan sama ada untuk mengekalkan TikTok beroperasi atau menguatkuasakan larangan itu kini terletak di tangan Trump apabila beliau secara rasmi memegang jawatan presiden.

Trump sebelum ini menunjukkan simpati terhadap TikTok menjelang larangan itu, dan Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew, dijadual menghadiri majlis pelantikannya, menurut laporan.

Terdapat juga laporan bahawa Trump sedang mempertimbangkan untuk menandatangani perintah eksekutif bagi mengatasi larangan itu. – TVS

 

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

Ā 

Berita Berkaitan