KUALA LUMPUR, 18 Jan: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mensasarkan untuk mengumpul RM5 juta pada tahun ini menerusi pelancaran satu tabung dana bertujuan membantu meringankan beban mereka yang terkesan susulan kenaikan caj oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM).
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, langkah itu merupakan penyelesaian terbaik untuk membantu golongan B40 dan M40 di Lembah Pantai dan Petaling Jaya selepas kenaikan caj pada 1 Januari lepas.
“Saya sudah memanggil pihak PPUM untuk berbincang pada Sabtu lepas, saya nyatakan pendirian tidak bersetuju dengan kenaikan ini.
“Jadi, saya melihat hanya ada satu penyelesaian iaitu pihak saya (pusat khidmat) perlu bantu PPUM untuk dapatkan dana, kita akan lancarkan tabung dalam masa terdekat,” katanya pada Majlis Pelancaran Future Health for All (Fh4a) di Dewan Merbau IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, dana terkumpul itu nanti akan diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Sosial PPUM dengan penyaluran akan dibuat kepada pihak yang benar-benar layak menerima.
Pada awal bulan ini, PPUM mengumumkan peningkatan kadar caj rundingan, kemasukan ke wad dan caj perkhidmatan susulan kenaikan harga kos bekalan dan peralatan perubatan.
PPUM dalam satu kenyataan berkata, kali terakhir kadar caj rawatan pesakit dikaji semula adalah pada 2019 namun begitu, ia tidak menyeluruh. – TVS.