Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Abdul Karim bersama-sama dengan legenda tinju Sarawak Sapok Biki dan Daeloniel Kilat Boy McDelon semasa pelancaran filem 'Tumbukan Emas' di Kuching pada Khamis. Foto Radzi Ahmad (TVS)

Kilat Boy pegang watak Sapok Biki dalam Tumbukan Emas

ByRadzi Ahmad

KUCHING, Jan 17: Peninju negara dan kebanggaan Sarawak, Daeloniel McDelon atau lebih dikenali sebagai Kilat Boy bakal memegang watak legenda tinju Sarawak, Mejar Sapok Biki dalam filem Tumbukan Emas.

Filem arahan pengarah kelahiran Sarawak Jalot Jeman itu akan menceritakan kisah anak Malaysia pertama memenangi pingat emas dalam sukan tinju di temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur pada tahun 1998.

“Kilat Boy” bawa watak legenda tinju Sapok Biki dalam “Tumbukan Emas” | TVS

Mengumumkan filem itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia akan membawa penonton mengimbau kembali kegemilangan dan kejayaan bersejarah Mejar Sapok Biki.

“Selepas kejayaan saudara Sapok Biki, ia berakhir begitu sahaja, kini baru kita dapat melihat kebangkitan semula sukan ini.

“Dengan adanya filem seperti ini dan rasa kegembiraan melihat detik kemenangannya, perasaan itu pasti dapat menghidupkan kembali semangat.

“Ini akan mendorong anak-anak muda untuk lebih berminat terhadap sukan tinju dan pada masa sama membuka peluang bagi mereka yang ingin terlibat dalam industri perfileman,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran filem Tumbukan Emas di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, pihaknya akan sentiasa menyokong pembangunan industri filem tempatan dan pengarah seperti Jalot Jeman yang gigih mengangkat martabat filem buatan Sarawak ke peringkat lebih tinggi.

Abdul Karim turut menggalakkan pemain industri tempatan untuk menerbitkan filem yang memaparkan sejarah, legenda dan semangat patriotisme Sarawak buat tatapan negara dan dunia.

“Kita mahu melihat lagenda, ikon ataupun pahlawan kita dalam sejarah difilemkan, supaya anak-anak muda akan tahu tentang pengorbanan dan apa yang telah dilalui dalam sejarah Sarawak serta individu yang terlibat dalam perjalanan kita sampai ke peringkat hari ini,” ujarnya.

Sementara itu, Jalot Jeman berkata, banyak lagi kisah tokoh-tokoh Sarawak yang boleh diadaptasikan dalam filem.

“Sekarang, tibalah masanya untuk anak Sarawak berkarya dan menerbitkan filem-filem tokoh Sarawak.

“Tokoh legenda ada banyak lagi seperti Flying Dayak  atau Watson Nyambek, Pendelela Rinong mahupun Puteri Santubong yang boleh kita terjemahkan kepada filem,” jelasnya.

Berasal dari Simunjan, Sapok Biki mencipta sejarah sebagai atlet Iban dengan merangkul pingat emas dalam kategori light flyweight (48kg) pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Tumbukan Emas akan turut menampilkan Nam Ron, Azhan Rani dan Tony Eusoff sebagai jurulatih kepada Sapok Biki sepanjang kerjayanya.

Dengan sokongan dana daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak serta kerjasama FINAS, Majlis Sukan Sarawak dan agensi lain, Tumbukan Emas bakal menjadi filem pertama sukan tinju di Malaysia.

Filem di bawah syarikat produksi tempatan Kamek Empun Production (KEP) itu dijadualkan memulakan penggambaran pada Mac 2025 selama 25 hari.

Ia akan ditayangkan di layar perak seluruh negara pada 22 Julai 2025 bersempena sambutan Hari Sarawak.

Sementara itu, KEP giat menjalankan sesi ujibakat dari 3 hingga 31 Januari untuk mencari pelakon tempatan dari pelbagai latar belakang dan umur.

Anak Sarawak yang berminat untuk menyertai filem tersebut boleh menghubungi talian 016-8626175 untuk maklumat lanjut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan