JAKARTA, 1 Jan: Sebuah bot yang membawa tiga orang nelayan dilaporkan hilang di perairan Cilacap, Jawa Tengah, Indonesia sejak petang semalam.
Difahamkan, kapal Kennedy berkenaan dijangka tiba di jeti Cilacap namun dilaporkan terputus komunikasi pada 6.10 petang waktu tempatan pada Selasa.
Menurut Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) wilayah Cilacap, Muhamad Abdullah, selepas penyelarasan dilakukan, bot berkenaan diisytiharkan hilang dan pihaknya memulakan pencarian pagi tadi.
“Pagi tadi Pasukan SAR memulakan pencarian dengan dua bot RIB dan dron terma untuk mengesan mangsa di kawasan seluas dua batu nautika,” katanya.
Beliau memberitahu pihaknya turut mengerahkan pasukan untuk memantau kawasan tepi laut sepanjang 10 kilometer garis pantai.
Abdullah berkata pihaknya turut meminta bantuan nelayan atau kapal yang menyusuri perairan itu dengan menyampaikan maklumat sekiranya terdapat tanda-tanda bot hilang.
Jelasnya, operasi mencari akan dijalankan selama tujuh hari bagi mengesan kesemua mangsa. – TVS

