KUCHING, 1 Jan: Sambutan Tahun Baharu 2025 disambut meriah dengan masyarakat memanfaatkan cuti umum untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan, selain merangka azam baharu bagi tahun mendatang.
Rata-rata masyarakat di sekitar Kuching mengambil peluang cuti ini untuk melakukan aktiviti bermanfaat bersama insan tersayang.
Bagi pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Nur Aqeela Zulaikha Muhammad Firdaus, tahun baharu dimulakan dengan masa berkualiti bersama keluarga memandangkan jarang berpeluang bercuti bersama.
“Oleh kerana ini adalah cuti umum, kami memanfaatkan masa ini untuk meluangkan masa bersama keluarga.
“Menyambut tahun baharu, kami mulakan dengan perkara positif, iaitu memperkukuhkan hubungan kekeluargaan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar IPTA, Kiven Henry, berkata azam tahun barunya adalah untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya, dengan memberi tumpuan kepada kesihatan dan pencapaian akademik.
“Azam saya adalah untuk menjadi individu yang lebih baik dan positif berbanding tahun lalu.
“Saya ingin berusaha lebih gigih sebelum mencapai tahun akhir dalam pengajian perubatan saya,” jelasnya.
Bagi pelajar bidang perubatan, Addlyka Jatek Lai, beliau berharap agar infrastruktur kesihatan di Sarawak dapat dipertingkatkan pada tahun ini untuk manfaat semua pihak.
“Saya berharap kita akan melihat lebih banyak kemajuan dalam bidang perubatan, terutamanya dengan pembukaan lebih banyak hospital.
“Dengan kemajuan dalam infrastruktur perubatan, saya percaya ia akan membawa kesenangan kepada semua,” ujarnya.