KUCHING, 28 Dis: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir kapal ikan karam di perairan laut Tanjung Sipang, Santubong di sini dihentikan selepas pencarian gagal menemui petunjuk dan penemuan baharu dalam pencarian memasuki hari kelima, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, SAR akan diaktifkan sekiranya ada petunjuk atau perkembangan yang baru ditemui.
“Sepanjang lima hari SAR dijalankan radius kawasan pencarian adalah 1671.92 batu nautika persegi merangkumi perairan Tanjung Sipang hingga perairan Triso yang melibatkan pencarian aset laut dan udara.
“Lima kru berjaya diselamatkan manakala seorang lagi kru lelaki berumur 64 tahun warganegara asing masih belum ditemui sehingga pencarian ditamatkan pada jam 6.00 petang semalam,” katanya dalam kenyataan.
Pada 23 Disember lalu, jam 10 pagi, polis IPD Kuching telah menerima satu laporan polis dari seorang pengadu tempatan menyatakan sebuah kapal ikan dan enam kru kapalnya gagal dihubungi yang dipercayai karam di perairan laut Tanjung Sipang.
Sehubungan itu, satu pasukan SAR telah diaktifkan dengan melibatkan bantuan APMM, Pasukan Polis Marin, UKPS, LSS, APM, LSS, PGU dan JBPM yang melibatkan aset tujuh buah bot, sebuah helikopter, sebuah kapal terbang cessna dan dua unit dron. – TVS