MIRI, 21 Dis: Selepas menunggu beberapa bulan, Rhea Moh Ning Xuan akan melalui proses pembedahan implan koklea yang dijangka berlangsung pada 22 Disember ini.
Perasaan ibunya, Janet Teng Ling Sieng pula bercampur baur antara ketakutan dan keterujaan selepas mengetahui Rhea bakal menjalani pembedahan.
“Memang rasa takut lah, tapi pada masa sama gembira juga. Akhirnya, Rhea boleh dengar suara, sesuatu yang saya lama tunggu,” katanya ketika ditemu bual oleh TVS di Borneo Medical Centre (BMC) Miri, hari ini.
Janet turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang dalam usaha mengumpul dana untuk rawatan tersebut.
“Terima kasih banyak. Memang proses ini sangat cepat. Walaupun rasa takut, saya bersyukur dapat bantuan ini.
“Kesedaran tentang implan koklea sangat penting sebab ia banyak membantu. Kanak-kanak yang dapat implan ini akhirnya boleh dengar suara, bercakap lebih cepat dan menjalani kehidupan seperti orang biasa,” ujarnya. -TVS