Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Salji di Rumah Panjang akan menemui penonton melalui tayangan perdana di YouTube TVS Entertainment pada 20 Disember jam 8.45 malam, diikuti siaran di TVS pada 23 Disember jam 9.45 malam.

Salji di Rumah Panjang: Kisah bapa tunggal yang meruntun jiwa sempena Krismas

KUCHING, 18 Dis: Dalam suasana perayaan yang penuh keriangan, Salji di Rumah Panjang, sebuah filem pendek terbitan TV Sarawak (TVS), hadir mengetuk pintu hati penonton dengan kisah menyentuh jiwa tentang kasih sayang seorang bapa tunggal kepada anaknya.

Meskipun salji tidak pernah turun di bumi Malaysia, kehangatan kasih keluarga dan kebersamaan komuniti rumah panjang menjadi salji metafora yang menyelubungi Krismas di Sarawak.

Filem ini mengangkat perjuangan seorang bapa tunggal yang berkorban segalanya demi masa depan anak kesayangannya, dengan latar belakang keindahan rumah panjang yang penuh tradisi dan nilai kekeluargaan.

Belakang tabir filem pendek Salji di Rumah Panjang

Stonton James, pelakon utama yang juga bapa tunggal dalam kehidupan sebenar, meluahkan keakraban emosinya dengan watak tersebut.

“Salji di Rumah Panjang bukan sekadar filem; ia adalah suara kepada golongan bapa tunggal yang sering terpinggir. Selama ini, kita jarang melihat kisah lelaki yang mengharungi kehidupan sendirian, berjuang demi anak tercinta.

“Filem ini adalah peluang saya untuk berkongsi kepedihan, harapan dan cinta yang hanya seorang ayah dapat rasakan,” katanya.

Filem ini turut menonjolkan keunikan budaya Sarawak, khususnya kehidupan di rumah panjang yang menjadi simbol perpaduan pelbagai kaum.

Melissa Francis, salah seorang pelakon, menekankan bagaimana masyarakat Sarawak meraikan perbezaan dengan penuh harmoni.

“Di Sarawak, Krismas bukan sekadar perayaan agama. Ia adalah tentang berkongsi kebahagiaan tanpa sempadan.

“Kita duduk bersama, makan bersama, tidak kira agama atau bangsa. Ia adalah refleksi sebenar perpaduan – sesuatu yang saya banggakan sebagai anak Sarawak,” katanya.

Belakang tabir filem pendek Salji di Rumah Panjang

Keistimewaan Salji di Rumah Panjang juga terletak pada penggunaan Bahasa Iban sepenuhnya, sesuatu yang jarang diketengahkan dalam filem arus perdana.

Harun Din Kamsaini, pengarah filem ini, mengakui cabaran tetapi juga melihatnya sebagai peluang besar.

“Bahasa adalah jiwa kepada budaya dan filem ini adalah penghormatan kepada Bahasa Iban. Saya bukan penutur Iban, tetapi dengan bantuan pelakon-pelakon hebat, setiap dialog disampaikan dengan penuh keaslian dan emosi.

“Ini adalah usaha kecil kami untuk mengangkat budaya Sarawak ke peringkat dunia,” ujar Harun.

Penggambaran dilakukan dalam masa seminggu di sebuah rumah panjang Iban yang memaparkan keaslian budaya tradisional.

Setiap sudut, setiap adegan membawa penonton lebih dekat kepada kehidupan sebenar masyarakat rumah panjang yang penuh dengan nilai kekeluargaan dan kebersamaan.

Belakang tabir filem pendek Salji di Rumah Panjang

Penerbit Khairil Zharif Affindie mengajak penonton untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan karya ini.

“Ini bukan sekadar filem, tetapi perjalanan emosi yang akan menyentuh hati anda. Ia merungkai erti sebenar kasih sayang, pengorbanan, dan perpaduan.

“Dalam setiap adegan, anda akan melihat kekuatan cinta seorang bapa dan keindahan semangat komuniti Sarawak,” katanya.

Salji di Rumah Panjang akan menemui penonton melalui tayangan perdana di YouTube TVS Entertainment pada 20 Disember jam 8.45 malam, diikuti siaran di TVS pada 23 Disember jam 9.45 malam.

Dibintangi oleh Stonton James, Melissa Francis, Ramles Walter, Ryan Samsara, Siti Solero, Stephanie, dan ramai lagi, filem ini menjanjikan pengalaman penuh emosi yang akan kekal di hati penonton.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kisah menyayat hati ini yang menghidupkan semangat kasih sayang dan perpaduan pada musim Krismas hanya di TVS! – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan