BINTULU, 14 Dis: Hospital Bintulu bakal menerima pembangunan menerusi projek pembesaran yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Rolling Plan 1 (RP1).
Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, projek ini dilihat sebagai langkah penting untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan penduduk Bintulu dan kawasan sekitarnya yang semakin meningkat.
“Saya dengan sukacitanya ingin berkongsi bahawa projek pembesaran Hospital Bintulu telah diluluskan di bawah RMK13 RP1.
“Projek ini akan menambah satu sayap baharu yang boleh menampung 500 katil tambahan, menjadikan kapasiti keseluruhan sebanyak 839 katil,” kata Tiong dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa penambahan ini amat penting untuk mengatasi cabaran kesesakan pesakit di Hospital Bintulu serta memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan di daerah ini.
Dengan projek pembesaran tersebut, hospital dijangka mampu memberikan perkhidmatan yang lebih komprehensif, termasuk rawatan pakar dan perkhidmatan kesihatan lain yang kritikal untuk penduduk tempatan.
“Saya juga telah mengusulkan kepentingan penyediaan kemudahan awam yang mencukupi dalam pengembangan ini, termasuk sekurang-kurangnya 3,000 ruang letak kereta untuk memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.
“Saya menyeru semua pihak berkaitan agar mempercepatkan pelaksanaan projek ini,” ujarnya lagi.
Projek pembesaran ini bukan sahaja menjadi langkah ke hadapan dalam meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti, tetapi juga menjadi tanda komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat Bintulu menerima kemudahan perubatan yang seiring dengan perkembangan pesat kawasan ini.-TVS