KUCHING, 11 Dis: Sebuah pasukan petugas khas perlu ditubuhkan bagi menangani dan menyelia pengurusan krisis di kawasan perindustrian berat di Samalaju, Bintulu.
Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing dalam hantaran di Facebook menyatakan bahawa kelewatan laporan dan komunikasi yang lemah sering menjadi punca kegagalan dalam pengurusan bencana sebelum ini.
“Pasukan khas ini akan memantau pengurusan krisis bencana di semua kilang industri berat di Bintulu serta menyelaras usaha antara kilang dan agensi kerajaan.
“Langkah yang dirancang termasuk mewujudkan kumpulan sembang untuk kemas kini masa nyata, latihan kakitangan, mekanisme keselamatan, dan pelaksanaan protokol pengurusan krisis,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak untuk melatih pasukan keselamatan secara berkala bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kecemasan.
Selain itu, Tiong menggesa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menaik taraf peralatan mereka secara komprehensif.
Beliau mencadangkan pembelian mesin air tekanan tinggi, lori tangga, serta peralatan lain yang diperlukan.
“Memandangkan bencana sering melibatkan kecederaan serius, adalah penting untuk memastikan kakitangan perubatan di klinik kilang Samalaju menerima latihan profesional dan dilengkapi dengan bekalan rawatan kecemasan yang mencukupi.
“Ini membolehkan rawatan awal diberikan sebelum pasukan kecemasan hospital tiba,” tambahnya.
Tiong juga menekankan bahawa, walaupun Sarawak mengalu-alukan pelaburan syarikat dan kilang untuk mewujudkan peluang pekerjaan, aspek kesihatan awam, keselamatan, dan kualiti udara tidak boleh diabaikan.
“Melindungi kesejahteraan komuniti setempat mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya. – TVS