PUTRAJAYA, 3 Dis: Pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 telah mencapai RM110 bilion bersamaan 75 peratus daripada sasaran RM147 bilion setakat suku ketiga tahun ini,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, nilai eksport halal berada pada paras RM45 bilion pada tempoh yang sama dengan sasaran RM62 bilion menjelang akhir tahun ini, manakala jumlah pelaburan kumulatif di Taman Industri Halal mencecah RM16.7 bilion daripada sasaran RM18.1 bilion
“Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan HIMP 2030, Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) akan memperkukuh kerjasama antara semua agensi kerajaan dan sektor swasta.
“Fokus utama adalah membuka pasaran baharu, terutamanya di peringkat antarabangsa, serta mempertingkatkan infrastruktur pelaburan yang lebih bersepadu dan cekap. Selain itu, penekanan diberikan kepada sinergi dan penyelarasan yang lebih efektif untuk memastikan pembangunan industri halal berjalan lancar.
“Langkah ini penting untuk memperkukuh ekosistem halal negara dan memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju industri halal global,” katanya menerusi satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat MPIH Bilangan 2 2024 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi MPIH berkata, kerajaan komited untuk terus menyusun semula tadbir urus industri halal bagi memastikan sektor itu menyumbang 10.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2030.
Dalam pada itu, mengulas mengenai mesyuarat itu, Ahmad Zahid berkata, beberapa langkah penting telah diputuskan iaitu melibatkan penubuhan badan profesional halal dan majlis pembangunan industri halal di peringkat negeri.
“Sebuah badan profesional halal akan ditubuhkan bagi menyelaras dan menentukan hala tuju strategik pembangunan profesional halal di negara ini. Penubuhan ini akan dibawa ke kabinet untuk kelulusan sebelum dilaksanakan.
“Mesyuarat juga bersetuju untuk menubuhkan MPIH di peringkat negeri. Langkah ini bertujuan memperkasa dan memperluas penyertaan pemain industri dalam ekosistem halal melalui pelaksanaan HIMP 2030 di peringkat negeri,” jelasnya. – TVS