PHNOM PENH, 25 Nov: Keazaman Kemboja untuk mengubah kawasan yang dahulunya dipenuhi periuk api menjadi sawah padi yang subur mencerminkan ketabahan negara itu untuk mengatasi konflik masa lalu dan bangkit sebagai ekonomi yang dinamik di Asia Tenggara.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet berkata kawasan yang pernah dianggap sebagai zon bahaya kini berubah menjadi tanah subur untuk pertanian, penempatan dan pembangunan yang membantu berjuta-juta rakyat keluar dari kemiskinan.
Beliau berkata demikian pada Isnin semasa Sidang Kemuncak Siem Reap-Angkor mengenai Dunia Bebas Periuk Api, yang merujuk kepada Fifth Review Conference of the Convention on the Prohibition of the Use, Stockpiling, Production and Transfer of Antipersonnel Mines and on Their Destruction, yang dilaporkan oleh Fresh News.
“Sekitar 80 peratus daripada kawasan yang dibersihkan digunakan untuk pertanian, manakala selebihnya digunakan untuk perumahan dan pembangunan, termasuk pembinaan infrastruktur utama bagi meningkatkan hubungan di seluruh negara yang telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kami hingga hari ini.
“Di samping itu, ia juga membuka peluang kepada berjuta-juta pelancong, termasuk pelabur untuk melawat Kemboja.
“Kemboja telah mengubah sejarah tragisnya menjadi pengajaran berharga untuk dunia dengan menggalakkan larangan penggunaan periuk api dan menekankan akibat jangka panjang periuk api terhadap masyarakat.
“Kecekapan kami diterima dengan baik oleh negara-negara lain yang menghadapi cabaran serupa, termasuk Ukraine, Afghanistan, Armenia, Azerbaijan dan negara anggota ASEAN,” kata Hun Manet seperti yang dilaporkan oleh portal berita dalam talian itu.
Kemboja telah membersihkan hampir 3,000 kilometer persegi kawasan periuk api dan unexploded ordnance (UXO).
Bagaimanapun, negara itu masih perlu membersihkan lebih 1,600 km persegi kawasan berbahaya yang memberi ancaman kepada kira-kira satu juta orang.
Kerajaan Kemboja bekerjasama dengan pakar antarabangsa untuk meneutralkan ribuan periuk api dan sisa bahan letupan perang (ERW) yang lain, yang ditanam oleh rejim Khmer Rouge. Usaha ini bertujuan untuk memulihkan tanah bagi kegunaan produktif.
Sidang Kemuncak Siem Reap-Angkor yang berlangsung dari 24 hingga 29 Nov itu turut dihadiri lebih 500 wakil.
“Sidang Kemuncak ini berpotensi menghantar isyarat yang kuat dan mendesak kepada komuniti antarabangsa mengenai bahaya berterusan periuk api dan bahan letupan sisa perang,” kata Pengurus Program APOPO di Kemboja, Michael Raine kepada Bernama.
APOPO, sebuah organisasi antarabangsa melatih tikus dan anjing untuk mengesan periuk api dan tuberkulosis, telah beroperasi di Kemboja sejak 2014.
Menurut Pihak Berkuasa Tindakan dan Bantuan Mangsa Periuk Api Kemboja, seramai 65,072 kes kecederaan akibat bahan letupan telah dicatatkan dari Januari 1979 hingga Jun 2024.
Raine berkata Kemboja memerlukan sokongan global yang berterusan, pembiayaan yang lebih banyak dan latihan yang dipertingkatkan untuk petugas pembersihan periuk api bagi meneruskan usaha menghapuskan sisa perang.
“Memberi pendidikan mengenai risiko kepada komuniti tempatan dan melibatkan mereka dalam usaha pembersihan juga boleh mempercepatkan kemajuan.
“Walaupun menghadapi cabaran besar, Kemboja tetap komited untuk mencapai sasaran bebas periuk api menjelang 2030 dan terus berusaha untuk mencapainya,” kata Raine.
Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (ESCAP), Armida Salsiah Alisjahbana menggesa masyarakat global untuk menggembleng sumber dan mengembangkan usaha tindakan periuk api untuk menyokong negara yang terjejas.
“Dalam menghadapi konflik baharu dan berlarutan, kita mesti memastikan komitmen kita diterjemahkan kepada sokongan praktikal dan berterusan untuk negara yang memerlukan.
“Saya menyeru negara anggota, rakan kongsi pembangunan dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mengukuhkan kerjasama dan menjalin perkongsian baharu bagi memenuhi janji Konvensyen Ottawa,” katanya pada Persidangan Siem Reap, lapor Fresh News. – TVS