KUCHING, 14 Nov: Kerajaan Sarawak akan terus memastikan pengurusan sisa pepejal lebih cekap dan sistematik bagi penyelesaian jangka panjang bagi masalah sisa pepejal di wilayah ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr. Penguang Manggil berkata, penyelesaian pengurusan sisa pepejal akan dilaksanakan secara menyeluruh termasuk di kawasan Entulang, Sri Aman.
Menurutnya, beliau menyedari isu berkaitan pusat pelupusan sampah di kawasan Entulang yang hampir mencapai kapasiti maksimum penggunaan.
“Kementerian kami sedang giat menjalankan penilaian komprehensif untuk membangunkan kawasan pelupusan sampah dan sisa pepejal baharu berkeluasan 8.6090 hektar di Bukit Gran, Sri Aman yang telah diluluskan pada tahun 2008.
“Kami juga bercadang untuk menutup kawasan pelupusan sampah sedia ada selain mencari alternatif serta kaedah pelupusan sampah serta sisa pepejal yang lebih mesra alam untuk seluruh kawasan Sri Aman,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang.
Tambah Dr. Penguang, pengurusan sampah serta sisa pepejal secara bijak seiring dengan peningkatan taraf hidup penduduk dan pada masa sama memastikan aspek kesihatan berada pada tahap tertinggi.
Menurutnya, pengurusan sisa pepejal di kawasan sekitar Entulang kini boleh dihantar untuk pelupusan di kawasan seluas 2.5 hektar yang berada 48.6 kilometer dari Bandar Sri Aman.
Untuk rekod, pusat pelupusan sampah dan sisa pepejal di Entulang, Sri Aman dibuka pada tahun 1983 dan mempunyai keluasan satu hektar. – TVS