KUCHING, 13 Nov: Polisi pengambilan pelajar di Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS) berdasarkan meritokrasi, dengan pemilihan dilakukan mengikut kelayakan akademik dan latar belakang sosioekonomi pelajar, kata Datuk Dr Annuar Rapaee.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak berkata ia penting untuk memastikan semua pelajar, tanpa mengira latar belakang, diberi peluang yang sama untuk menerima pendidikan berkualiti.
“Polisi ini adalah penting untuk memastikan sistem pendidikan di Sarawak mengutamakan merit dan peluang untuk semua pelajar, tanpa mengira latar belakang kaum mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching, hari ini.
Pengambilan pelajar dilakukan berdasarkan dua faktor utama, iaitu keputusan peperiksaan dan latar belakang sosioekonomi bagi membantu mereka dari keluarga berpendapatan rendah dan kawasan luar bandar.
“Jika seorang pelajar dari golongan B40 atau M40 memperoleh keputusan yang baik, mereka tetap akan diterima. Ini adalah dasar meritokrasi yang kami tetapkan di YSISS,” kata Dr. Annuar.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa dasar ini juga memastikan tidak ada diskriminasi berdasarkan kaum atau etnik.
“Semua pelajar dinilai berdasarkan merit, bukan berdasarkan latar belakang etnik mereka,” tambahnya.
Annuar berkata, pembukaan sekolah di daerah seperti Betong, Miri, dan Bintulu diharap dapat memberi peluang kepada lebih ramai pelajar luar bandar untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik melalui pembahagian pelajar berasaskan meritokrasi.
“Tiada pelajar yang akan tercicir kerana berasal dari kawasan luar bandar. Dasar meritokrasi ini memberi mereka peluang yang sama untuk berjaya,” katanya lagi.
Terdahulu dalam ucapannya sewaktu persidangan DUN pagi tadi, 55.4 peratus pelajar YSISS adalah terdiri daripada B40 manakala 32.3 peratus adalah M40 dan 12.3 peratus adalah T20.
Dedahnya lagi, pecahan pelajar mengikut kaum bagi kedua-dua YSISS Petra Jaya dan YSISS Kuching adalah terdiri daripada Melayu iaitu 36.2 peratus, Bidayuh (19.1), Iban (18.7), Cina (12.2), Melanau (7.9), Orang Ulu (3.7) dan 2.2 peratus daripada pelbagai kaum yang lain. – TVS