KUALA LUMPUR, 12 Nov: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak bercadang untuk menetapkan syarat kelayakan minimum bagi petugas di Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ini kerana pihaknya tidak mahu mengehadkan penglibatan masyarakat.
“Mereka merupakan petugas PDK dan bukan kakitangan kerajaan (dan) terpulang kepada mereka untuk menentukan kelayakan itu cuma (lebih baik jika) mereka mempunyai kemahiran yang tinggi,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Nancy memberi maklumkan balas kepada Datuk Mumtaz Md Nawi (Perikatan Nasional -Tumpat) yang mencadangkan agar semua petugas di PDK sekurang – kurangnya memiliki diploma pendidikan khas yang dilihat seiring dengan guru di sekolah rendah yang mengajar pelajar kategori itu.
Dalam pada itu, Nancy menambah bahawa selain kursus yang diberikan kepada petugas, golongan ibu bapa juga disaran melibatkan diri di PDK bagi membantu perkembangan anak masing – masing di situ.
Sementara itu kata beliau terdapat anak – anak di PDK telah melanjutkan pelajaran ke Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang merupakan akses kepada pembangunan kemahiran dan kerjaya yang melatih supaya mereka boleh berdikari pada masa hadapan.
“Ia sekali gus meliputi program pemerkasaan ekonomi yang dilihat dapat membantu anak-anak ini agar dapat berdikari dari segi ekonomi,” katanya lagi.
Selain itu, Nancy menegaskan bahawa kementeriannya sedang meneliti keperluan untuk menyediakan program khusus bagi peserta autisme di PDK supaya golongan ini dapat menerima sokongan yang lebih tersusun dan berfokus.
“Banyak peruntukan baharu bagi golongan autisme dan perancangan lanjut akan dilaksanakan untuk memenuhi keperluan mereka,” katanya. -TVS.