KUALA LUMPUR, 12 Nov: Kerajaan menyalurkan bantuan berjumlah RM137.4 juta yang memanfaatkan hampir 20,000 orang kurang upaya (OKU) yang menyertai Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, peruntukan itu turut memanfaatkan 573 orang penyelia dan 2,773 orang petugas di kesemua PDK terlibat.
Dewan Rakyat : UMS rancang buka pusat pembelajaran baharu di Semporna
Kata Nancy, jumlah bantuan itu disalurkan menerusi kementeriannya sehingga September 2024.
“Bagi terus menyokong pengoperasian PDK, kerajaan telah memperuntukan bantuan kewangan kepada pertubuhan PDK setiap tahun bagi tujuan pentadbiran dan pengoperasian yang melibatkan pemberian saguhati untuk penyelia dan petugas, elaun pelatih yang dinaikkan kepada RM300 sebulan bermula Januari 2024, bayaran sewa premis dan bayaran utiliti ,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Nancy menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (Pakatan Harapan -Ampang) yang ingin tahu hala tuju dan pelan tindakan PDK bagi menyelesaikan pelbagai isu mendesak terutama kesedaran dan penerimaan masyarakat, kekurangan sumber kewangan, tenaga kerja dan kelengkapan infrastruktur yang sesuai, pendidikan dan latihan serta sokongan dalam bentuk lain.
Sementara itu Nancy turut memaklumkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan akses kepada Kursus Asas Petugas PDK secara percuma dalam membantu pembangunan kapasiti dan kemahiran petugas.
“Bermula 2009 sehingga 2023, seramai 1,838 orang penyelia dan petugas Program PDK telah menjalani kursus ini,” katanya .
Pada tahun ini beliau memaklumkan sebanyak RM482,820 telah dibelanjakan untuk 455 petugas PDK mengikuti Kursus Asas Petugas PDK. -TVS.